BTS Media

Tiada rekod rasmi Kampung Sungai Baru diwartakan Tanah Rizab Melayu –  Zaliha

DEWAN Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang rekod rasmi yang menunjukkan tanah di Kampung Sungai Baru pernah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau Tanah Rizab Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa berkata, perkara itu disahkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Dalam sesi penerangannya mengenai isu tersebut, Zaliha menjelaskan bahawa tapak itu wujud pada tahun 1967, iaitu tujuh tahun sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor pada ketika itu telah melaksanakan projek meluruskan Sungai Klang bagi menangani masalah banjir di kawasan berhampiran.

Jelas menteri itu, hasil daripada projek meluruskan sungai tersebut, satu plot tanah baharu seluas 16 ekar telah wujud dan kemudiannya dinamakan Kampung Sungai Baru.

Beliau menambah, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kemudiannya membangunkan tanah tersebut dengan tujuan untuk menambah penempatan orang Melayu di kawasan itu.

Bagaimanapun, Zaliha menegaskan bahawa di sebalik tujuan pembangunannya itu, tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut pernah ditetapkan atau diwartakan secara rasmi sebagai Tanah Rizab Melayu atau tanah MAS.

  – BTSMedia.my

 

Leave a Comment