BTS Media

Tak banyak tanah Melayu dimiliki oleh orang Melayu

GAMBAR ATAS: Pejabat Dr Mahathir Mohamad.

 

JIKA kita teliti sejarah orang Melayu, kita terpaksa akui bahawa sepanjang zaman tanah air orang Melayu merosot kawasannya.

Demikian apabila British mengadakan perjanjian dengan Siam di Bangkok pada tahun 1909, empat buah negeri Melayu, iaitu Patani, Singgora, Menara dan Yala di selatan Siam, diserah kepada Siam.

Pihak British mendakwa bahawa Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diletak di bawah naungan British.

Perjanjian ini dibuat oleh British tanpa rundingan dengan raja-raja Melayu di negeri-negeri berkenaan. Tidak ada laporan berkenaan pandangan Raja-Raja Melayu terhadap perjanjian ini.

Maka terhilanglah sebahagian dari Tanah Melayu.

Di selatan pula terdapat Kepulauan Riau yang menjadi sebahagian dari negeri Johor. Apabila Belanda menyerang dan menjajah kepulauan yang sekarang dikenali sebagai Indonesia, mereka menawan juga Kepulauan Riau.

Johor tidak membantah kerana Belanda terlalu kuat. Maka kepulauan Riau menjadi wilayah Indonesia apabila negara itu merdeka dan semua wilayah yang ditawan oleh Belanda diiktiraf sebagai sebahagian dari Indonesia.

Maka terhilanglah Kepulauan Riau sebagai sebahagian dari Tanah Melayu.

Pada 1819 British membeli pulau Singapura atau Temasek dari Temenggung Johor, dengan harga dolar Sepanyol sebanyak 60,000.

Menjadi amalan biasa apabila kuasa Eropah menamatkan penaklukan wilayah takluk mereka selepas perang dunia kedua wilayah berkenaan dikembalikan kepada negara asalnya. Dengan perkataan lain Singapura hendaklah dikembalikan kepada Johor, satu daripada negeri Tanah Melayu.

Semasa British menjajah Singapura, ramai orang bangsa Cina dan India diterima masuk sebagai pemastautin tetap. Akhirnya hampir seluruh pulau Singapura diduduki dan dimiliki oleh orang Cina.

Pentadbiran kolonial British akui bahawa Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Seperti yang disebut di atas apabila penaklukan British tamat, wilayah yang dijajah oleh mereka, diserah balik kepada negara asal wilayah berkenaan.

Itulah niat British dan itulah juga kehendak Malaysia. Oleh itu apabila penjajahan tamat, Singapura kembali menjadi sebahagian dari Tanah Melayu.

Malangnya penduduk Cina Singapura menimbulkan masalah politik dalam negara Malaysia yang baru didirikan. Mereka tidak bersetuju dengan syarat-syarat kemerdekaan Malaysia, iaitu keistimewaan bagi penduduk asal Tanah Melayu, iaitu orang Melayu. Mereka tuntut hak sama rata dengan orang Melayu.

Berhadapan dengan masalah ini, pemerintah Malaysia yang merdeka memutus untuk pisahkan Singapura dari Malaysia dan mengiktiraf Singapura sebagai negara bebas.

Dengan itu hilanglah sebahagian lagi dari Tanah Melayu. Semua kehilangan kawasan Tanah Melayu berlaku tanpa apa-apa bantahan oleh orang Melayu atau raja-raja mereka.

Sekarang Tanah Melayu sudah jadi amat kecil. Ia terhad kepada semenanjung ini sahaja. Negeri-negeri yang masih ada ialah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan Pahang dan Johor.

Wilayah yang dahulu ditakluki British iaitu Melaka dan Pulau Pinang kembali menjadi sebahagian dari Tanah Melayu.

Ini sahajalah yang tinggal sebagai Tanah Melayu sekarang. Tetapi walaupun masih dikenali sebagai Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak lagi tanah Melayu yang dimiliki oleh orang Melayu.

Sebabnya di zaman British terutamanya, ramai orang asing berhijrah ke Tanah Melayu. Orang Melayu tidak bantah walaupun pada satu masa jumlah orang asing lebih ramai dari orang Melayu.

Mereka yang datang dari negara China dan India, meringankan beban orang Melayu kerana mereka bersedia membuat kerja-kerja yang berat, kotor dan merbahaya yang tidak sanggup dibuat oleh orang Melayu sendiri.

Pendatang asing ini juga mengadakan perniagaan dan perusahaan yang memperkayakan Tanah Melayu. Tumpuan orang Melayu ialah kepada jawatan bergaji kerajaan. Jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dipegang oleh orang Melayu.

Setelah pendatang asing tinggal lama di Tanah Melayu maka mereka pun diberi kerakyatan. Sebagai rakyat Tanah Melayu kuasa politik pun diperoleh oleh mereka.

Tetapi orang asing ini tidak dapat taraf kerakyatan sama rata dengan orang Melayu kerana mereka kekalkan kaitan mereka dengan negara asal mereka. Namun mereka menguasai ekonomi dan kekayaan yang dapat mempengaruhi politik negara.

Di Tanah Melayu tidak ada sekatan terhadap siapa sahaja dalam pemilikan tanah. Setelah menjadi kaya banyaklah tanah yang dibeli oleh puak pendatang dan keturunan mereka.

Menjual tanah menjadi punca pendapatan orang Melayu. Tanah, jika tidak dijual akan kekal selama-lamanya. Tetapi jika dijual, duit yang didapati tidak kekal. Duit akan habis apabila dibelanjakan.

Jadi apabila tanah dijual dan duit yang didapati habis dibelanjakan, penjual tanah akan jadi lebih miskin. Tidak ada yang boleh dijual selain dari tenaga yang ada di tubuh badan.

Pilihan yang ada pada orang yang miskin ialah dengan menjual tenaga sebagai pekerja buruh atau menjadi pengemis yang meminta-minta. Jika tidak sanggup bekerja dan dengan itu menjadi pengemis, kehidupan di dunia tentulah amat menekan.

Tak perlulah dijelaskan apa nasib pengemis. Agak terlalu lewat untuk mengembalikan tanah yang dahulu dimiliki oleh orang Melayu.

Leave a Comment