SOSIAL media baru-baru ini banyak memaparkan atau menularkan gambar pemimpin-pemimpin parti pembangkang menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu.
Ada dalam kalangan orang ramai melihatnya sebagai tidak baik, dan menganggap pemimpin tersebut mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Sebenarnya, proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah ada kebenarannya untuk memperjuang dan mencari penyelesaian kepada masalah serta masa depan orang Melayu, lapor Sinar Harian.
Antara pemimpin yang menyokong inisiatif itu termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin PAS yang lain seperti Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula, sokong diwakili oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Dr Mahathir sebelum berhasrat menganjurkan himpunan Proklamasi Orang Melayu, namun ia didakwa disekat pihak kerajaan selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.
Berikutan itu, kempen Proklamasi Orang Melayu digerakkan oleh beliau secara dalam talian.
Kempen tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan untuk bangsa dan negara.
Menurut Ahmad Faizal, proklamasi itu bukan sebarang agenda yang berkaitan dengan politik, dan juga bukan usaha untuk menjatuhkan kerajaan malahan ia adalah sesuatu yang baik bagi Kerajaan Perpaduan.
“Ia juga baik untuk kerajaan sekarang. Apabila Melayu kaum majoriti bertindak untuk bersatu-padu, tentunya ia untuk keamanan, kebaikan kemakmuran negara,” jelasnya.
Beliau berkata, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pemimpin atau ahli dalam PN untuk turut sama dalam menyokong proklamasi itu.
Sekiranya memang benar proklamasi yang ditubuhkan itu berniat bagi membangunkan dan menyuarakan hak kaum Melayu, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menyatakan sokongan.
Tidak seharusnya rakyat membuat keputusan terburu-buru dengan melontarkan kata negatif, sebaliknya selidik terlebih dahulu realiti sebenar.
-BTS Media