GAMBAR: Bernama.
SEORANG bekas timbalan pendaftar hakmilik Pejabat Tanah dan Galian Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.
Rosli Che Mohamed, 64, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan Rosli didakwa menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk mempercayai bahawa tanah No. Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529 di Sitiawan, adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui borang pembetulan data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.
Disebabkan perbuatan itu ia telah mendorong agensi negeri meluluskan permohonan pecah sempadan tanah itu kepada 317 Plot seluas kira-kira 649.2 hektar kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada 4 Jan 2012.
Rosli didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor kemudian mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Syahrul Nizam Mohd Rabi merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menghidap sakit jantung dan perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara setiap enam bulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.