RIBUT petir kencang yang melanda bandar raya Kuala Lumpur petang semalam mengakibatkan gangguan meluas, melumpuhkan sebahagian rangkaian pengangkutan dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Kejadian pokok turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik, kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter selama lebih sejam, manakala beberapa batang jalan raya terhalang.
Rangkaian kereta api juga terjejas. Menurut kenyataan daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bekalan elektrik terganggu pada pukul 4:24 petang di laluan kritikal antara Salak Selatan-Pelabuhan Klang dan Simpang Batu.
KTMB berkata walaupun pasukan kecemasan telah membersihkan landasan dan menyelesaikan kerja baik pulih dalam tempoh empat jam, namun sepuluh tren mengalami kelewatan antara 32 hingga 70 minit, hingga menjejaskan ribuan penumpang semasa waktu puncak sebelah petang.
Kesan ribut turut dirasai di seluruh pusat bandar. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaporkan gangguan lalu lintas teruk akibat pokok tumbang.
Usaha bersepadu pelbagai agensi melibatkan DBKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, dan Angkatan Pertahanan Awam digerakkan untuk membersihkan laluan, dan mengawal keselamatan kawasan yang terjejas.
Di Pantai Dalam, angin kencang telah menerbangkan bumbung rumah di projek perumahan Sri Cempaka, menyebabkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan.
-BTS Media