SEKURANG-kurangnya sembilan orang, termasuk lima kanak-kanak, terkorban dalam beberapa kejadian tanah runtuh yang melanda daerah Kota Kinabalu dan Papar pagi tadi.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan semalaman.
Di Kota Kinabalu, satu kejadian tanah runtuh menimpa sebuah rumah di Kampung Cenderakasih, Kolombong, pada kira-kira pukul 9.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan tujuh mangsa ditemui maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata mangsa yang maut terdiri daripada empat kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun, serta dua wanita dan seorang lelaki.
“Seramai 11 orang terlibat dalam kejadian ini. Empat daripadanya selamat, termasuk seorang yang patah kaki,” kata Kasim Muda kepada pemberita.
Sementara itu, daerah Papar yang terletak kira-kira 40km di selatan Kota Kinabalu, turut mengalami dua kejadian tanah runtuh berasingan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Pisar Aziz, berkata seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang budak lelaki berusia 11 tahun maut apabila rumah mereka di Kampung Mook tertimbus. Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi mencari selama hampir empat jam.
Dalam kejadian berasingan di Kampung Marahang Tuntul, juga di Papar, Mohd Pisar berkata tiga orang dilaporkan tertimbus. Operasi menyelamat sedang dijalankan, dan dua mangsa telah ditemui manakala seorang lagi masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan segera ke semua lokasi, melibatkan puluhan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Tuaran, dan Papar.
-BTS Media