GAMBAR ATAS: Mediacorp.
Oleh Fetty Rara
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia satu setengah tahun yang dijangkiti COVID-19 disahkan maut di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, MOH berkata kanak-kanak itu meninggal dunia akibat radang otak atau encefalitis jangkitan COVID-19 dan virus virus pernafasan ‘synctial’ dan enterovirus.
Ini merupakan kematian pertama berpunca daripada COVID-19 yang menyerang pesakit di bawah usia 12 tahun tanpa sejarah masalah kesihatan.
Kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada malam 21 Jun setelah mengalami demam panas dan sawan hingga tidak sedarkan diri.
Setelah didapati kritikal, dia dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak pada 22 Jun dan didapati menghidap radang otak dan meninges yang kronik.
Ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) menunjukkan kanak-kanak itu positif COVID-19 berserta dua lagi virus lain
Menurut MOH COVID-19 boleh membawa kepada komplikasi teruk, termasuk bagi kanak-kanak dan mereka yang tidak berpenyakit.
Kementerian itu berkata vaksinasi boleh mengurangkan kemungkinan berlaku komplikasi penyakit lain hingga menjadikan keadaan pesakit lebih serius.
“Justeru, MOH mengusulkan semua kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun (di Singapura) mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik yang tidak dikesan sebelum ini,” katanya.
Kematian terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian berpunca daripada COVID-19 mencecah 1,409 kes di Singapura.
Semalam, Singapura melaporkan 5,309 kes koronavirus baharu, meningkat daripada 5,116 kes sehari sebelumnya.
MOH juga melaporkan terdapat 420 pesakit COVID-19 yang kini dirawat di hospital dengan 26 kes memerlukan sokongan oksigen, manakala sembilan lagi dalam unit jagaan rapi.
Singapura setakat ini melaporkan sejumlah 1,413,667 kes COVID-19 sejak pandemik bermula lebih dua tahun lalu.
-BTS Media