Oleh Fetty Rara
Kementerian Kesihatan tidak bercadang melanjutkan Program Imunisasi Kanak-kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) yang akan tamat pada 31 Mei ini, dan tidak akan dilanjutkan.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memberitahu media di Bagan Serai, Perak pada Sabtu bahawa kementerian telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa membawa anak mereka untuk diberi vaksin secara percuma.
Selepas ini vaksinasi akan disediakan dengan bayaran di klinik swasta.
Program itu sepatutnya tamat pada 15 Mei, tetapi dilanjutkan ke 31 Mei untuk memberi masa ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.
Dr Noor Azmi berkata jumlah harian kanak-kanak yang menerima vaksin itu menunjukkan peningkatan selepas Hari Raya Aidilfitri mulai 17 Mei iaitu 1,981 orang pada 16 Mei, 17 Mei (2,798), 18 Mei (2,806), 19 Mei (3,747) dan semalam (7,137).
Menurut beliau, Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak yang telah divaksin iaitu 87.4 peratus, diikuti Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Labuan.
-BTS Media