RESPONS pentadbiran Trump terhadap serangan maut Israel yang menyasarkan perunding Hamas di Doha dikritik kerana bersifat sambil lewa walaupun menyebabkan kematian.
Whitehouse mendakwa kononnya mereka terlebih dahulu memaklumkan pihak Qatar sebelum serangan, namun dakwaan itu dinafi keras oleh Qatar.
Serangan Israel pada hari Selasa yang menyasarkan sebuah kawasan kediaman di Doha itu mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar.
Qatar menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan “pengecut” terhadap kedaulatannya.
Jurucakap Whitehouse, Karoline Leavitt, berkata tentera AS telah memaklumkan pihak pentadbiran tentang serangan yang dirancang oleh Israel itu, dan Presiden Donald Trump mengarahkan supaya amaran diberikan kepada Qatar.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Qatar berkata amaran daripada AS hanya diterima ketika serangan sedang berlaku.
Trump kemudian berkata beliau kesal atas lokasi serangan. Beliau juga menafikan bertanggungjawab dan berkata keputusan serangan itu dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam kenyataannya juga, Trump membayangkan beliau menyokong tindakan terhadap Hamas.
Hamas menuduh AS bersubahat kerana terus menyokong Israel.
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan serantau dan mengancam peranan penting Qatar sebagai perantara di dalam rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
-BTS Media