BTS Media

Bekas pengarah Maju Holdings didakwa pecah amanah, pengubahan wang haram

GAMBAR: Utusan

BEKAS Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, telah didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kesemua pertuduhan itu, yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, melibatkan wang berjumlah RM313 juta bagi pertuduhan pecah amanah dan RM139 juta untuk pengubahan wang haram.

Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Pertuduhan ini dikaitkan dengan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau MEX II.

Mahkamah membenarkan Abu Sahid diikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November.

Abu Sahid, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, juga dibenarkan berada di luar kandang tertuduh kerana masalah kesihatan.

-BTS Media

Leave a Comment