BTS Media

Pakistan: Imran Khan hadapi tuduhan pengubahan wang haram

ISLAMABAD: Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, dihadapkan ke mahkamah semalam selepas penahanannya mencetuskan keganasan di serata negara itu, antara penyokongnya dengan anggota pasukan keselamatan.

Bekas bintang kriket berusia 70 tahun itu, ditangkap oleh kumpulan separa tentera, atas perintah Biro Akauntabiliti Negara di Islamabad, kerana menentang keras pemerintah Perdana Menteri, Shehbaz Shariff, dan tentera negara itu.

Penyokong Imran, menyasarkan serangan mereka ke atas ibu pejabat tentera di Rawalpindi, menyerbu kediaman pegawai pemerintah tertinggi tentera di Lahore dan membakar sekurang-kurangnya tiga bangunan di negara itu.

Parti pimpinan Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf, berkata sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 20 yang lain cedera susulan krisis terbaru yang meletus ketika Pakistan mengalami keadaan ekonomi paling buruk.

Pihak berkuasa turut mengarahkan semua sekolah ditutup dan peperiksaan tahun dibatalkan bagi semua pelajar.

Ratusan anggota polis dilaporkan cedera di serata Pakistan manakala di negeri paling ramai penduduk, Punjab, hampir 1,000 orang ditahan.

Khidmat Pelaburan Moody memberi amaran bahawa negara itu mungkin tidak dapat membayar balik hutang negara jika tidak mendapat bantuan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kerana tempoh yang diberikan hingga Jun masih belum pasti dapat dipenuhi.

Penilaian terhadap negara itu diletakkan di paras paling bawah pada tahun ini, dengan bon dolar Pakistan akan tamat tempohnya pada 2031, merosot ke paras paling rendah sejak November 2022.

Sementara itu, pihak berkuasa di tiga daripada empat wilayah Pakistan menguatkuasakan perintah darurat, mengharamkan semua perhimpunan, selepas penyokong Imran bertempur dengan pihak polis, mengepung jalan raya utama dan menyerang bangunan markas tentera.

Kumpulan pemantau perhubungan telekomunikasi memberitahu agensi berita Reuters, perkhidmatan telefon bimbit digantung atas perintah Kementerian Dalam Negeri.

Netblocks, pemantau Internet global, berkata akses Twitter, Facebook dan YouTube juga disekat.

Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah, memberitahu wartawan bahawa Imran ditangkap selepas beliau mengabaikan perintah supaya melaporkan diri.

Beliau berkata, Imran dan isterinya didakwa menerima, semasa menjadi perdana menteri, pemberian tanah bernilai 7 bilion rupee (RM110 juta) daripada seorang pemaju hartanah, yang didakwa di Britain atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram.

Tambah Sanaullah, pihak berkuasa Britain memulangkan 190 juta paun sterling (RM1.07 bilion) kepada Pakistan, berkaitan dengan pengubahan wang haram itu.

Imran juga memulangkan wang terbabit kepada pemaju hartanah berkenaan, dan tidak menyerahkannya kepada perbendaharaan negara serta menafikan dakwaan menerima komisen daripada urus niaga itu.

Kes rasuah itu adalah satu daripada lebih 100 yang didaftarkan terhadap Imran, sejak beliau disingkirkan selepas berkuasa selama empat tahun.

Imran diharamkan memegang jawatan awam jika didapati bersalah dan pilihan raya umum negara itu dijadual diadakan pada November 2023.

Susulan keganasan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda walaupun lapan hari sudah berlalu sejak Imran ditahan, kerajaan mengerahkan pihak tentera Pakistan untuk mengawal keamanan

Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, keputusan mengerahkan tentera ke dua wilayah selain ibu negara, Islamabad bagi mengembalikan keamanan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam.

– AFP

Leave a Comment