Oleh Fetty Rara
BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan terselamat, tetapi mengalami kecederaan setelah ditembak ketika menyertai konvoi protes di bandar Wazirabad, timur negara itu.
Beliau cedera di bahagian kaki apabila seorang penyerang melepaskan tembakan ke atas kenderaan yang dinaikinya.
Seorang dilaporkan terbunuh dan sekurang-kurangnya lima lagi cedera.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu dan apa motifnya, lapor BBC.
Perarakan protes yang disertai Imran, 70, itu bertujuan menuntut diadakan pilihan raya awal, dan sepatutnya berakhir di ibu negara Pakistan, Islamabad.
Bekas bintang kriket antarabangsa yang menjadi ahli politik itu dibawa ke hospital di Lahore untuk rawatan. Keadaan beliau dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan.
Polis mengeluarkan pengakuan video seorang lelaki yang dikatakan melakukan serangan itu.
Penyerang itu mendakwa Imran menyesatkan orang ramai, dan beliau perlu dibunuh.
Seorang pegawai pembantu Imran memberitahu BBC bahawa kerajaan Pakistan perlu bertanggungjawab kerana terbabit tidak secara langsung dalam serangan tersebut.
-BTS Media