BTS Media

Ibu bapa biar anak bawah umur memandu boleh didakwa pengabaian kanak-kanak

POLIS setakat ini telah mengeluarkan lebih 16,600 saman kepada ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak bawah umur mereka memandu tanpa lesen sejak 2023.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri, angka ini adalah sebahagian daripada lebih 917,000 saman yang dikeluarkan terhadap pemandu tanpa lesen dalam tempoh yang sama, lapor Utusan Malaysia.

Beliau meluahkan kebimbangan bahawa sebahagian ibu bapa memandang ringan isu keselamatan jalan raya dan gagal mengutamakan keselamatan anak-anak mereka.

Mohd Yusri berkata bahawa membiarkan anak yang tidak berlesen memandu adalah satu bentuk pengabaian serius.

Beliau berkata, ibu bapa boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko.

Akta tersebut membawa hukuman denda minimum RM2,000, penjara minimum enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga mencadangkan agar hukuman lebih tegas dikenakan terhadap ibu bapa yang didapati membenarkan pemanduan bawah umur.

Mohd Yusri berkata ramai ibu bapa membenarkan anak mereka memandu atas alasan kemudahan, kononnya untuk meringankan kerja rumah, tetapi tindakan ini sebenarnya menimbulkan risiko lebih besar.

Anggapan kononnya kesalahan memandu tanpa lesen kesalahan kecil adalah tidak benar, kerana lesen hanya diberikan selepas seseorang menjalani latihan dan kursus yang betul.

Mohd Yusri memberi amaran bahawa melanggar undang-undang jalan raya pada usia muda boleh membawa kepada masalah lebih serius kemudian hari.

Beliau memetik kajian yang menunjukkan remaja mula melanggar undang-undang pada usia awal lebih cenderung terlibat dalam perlumbaan haram, vandalisme, dan penyalahgunaan dadah.

Mereka juga mungkin membesar dengan tanggapan bahawa peraturan dan undang-undang, termasuk yang berkaitan dengan sekolah, kerja, dan undang-undang negara, boleh diabaikan.

-BTS Media

Leave a Comment