BTS Media

Sabah: Ibu, anak-anak terperangkap banjir paut di pokok pisang diselamatkan

SEORANG ibu dan dua anaknya diselamatkan oleh anggota bomba di Kampung Langkon, Kota Marudu, awal pagi hari Khamis selepas terperangkap oleh air banjir yang naik dengan cepat.

Mereka mencuba pergi ke jalan utama yang dirasakan lebih selamat, tetapi malangnya terkandas kerana air terlalu deras.

Merasakan bahaya jika terus mengharungi banjir, mereka terpaksa berpatah balik dan berpaut  pada pokok pisang.

Si ibu mengangkat anak perempuannya yang berusia enam tahun ke dahan pokok pisang sementara dia dan anak lelakinya yang berusia 20 tahun berpaut pada pokok itu.

Mereka terperangkap selama lebih sejam sebelum dilihat oleh sepasukan empat anggota bomba dan penyelamat yang kebetulan sedang menjalankan pemantauan banjir di kawasan itu.

Menurut pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu Asman Omar, pasukan itu dalam perjalanan ke Kampung Tigaman apabila mereka terdengar jeritan anak lelaki itu meminta pertolongan.

Anggota penyelamat menggunakan tali untuk menarik keluarga itu ke tempat selamat dengan meredah air paras pinggang dan seterusnya menghantar mereka ke rumah saudara.

Pasukan penyelamatan itu adalah sebahagian daripada operasi banjir di daerah itu, yang mengalami hujan lebat berterusan sejak hari Rabu.

Hujan lebat juga telah menjejaskan beberapa daerah lain di Sabah, termasuk Pitas, Beluran, Paitan, dan Sandakan.

-BTS Media

Leave a Comment