BTS Media

Empat anak harimau Malaya bersama ibu ditemukan di hutan Perak

GAMBAR ATAS: WWF-Malaysia.

 

Oleh Zainal AS Rashid

BEBERAPA foto seekor harimau Malaya betina bersama empat anaknya berjaya dirakam menggunakan kamera perangkap di hutan Perak.

Menurut kenyataan daripada Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) semua gambar tersebut yang dirakam awal tahun ini menunjukkan tiga anak harimau berkenaan berada di depan si ibu, dengan, manakala anak keempat berada di sebelah kanan.

Pengarah eksekutif dan CEO WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata ia amat menguja, memandangkan Hari Harimau Global akan disambut pada bulan ini.

Beliau berkata kehadiran ibu anak-anak harimau tersebut menyuntik harapan bahawa spesies amat terancam itu dapat diselamatkan daripada kepupusan. Bilangan harimau Malaya di hutan Semenanjung Malaysia sekarang kurang daripada 150 ekor.

Menurut Lim, adalah penting bagi pihaknya meneruskan rondaan untuk melindungi anak-anak dan ibu harimau itu daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat.

Bagi Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) Shah Redza Hussein pula kehadiran anak-anak harimau ini menunjukkan bahawa dengan habitat yang sesuai dan ketersediaan sumber makanan spesies harimau Malaya mampu membiak dan terus hidup dalam habitat alam liar.

Beliau berkata usaha anti pemburuan haram lebih kuat dan lestari amat perlu demi untuk memastikan anak-anak harimau ini selamat dan membesar tanpa diganggu.

Dengan sokongan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, pasukan anti-pemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Rondaan Orang Asli Menraq kerap melakukan rondaan di Taman Negeri Royal Belum, yang meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Menurut data, secara purata harimau melahirkan anak antara setiap dua hingga empat tahun.

Sekiranya seekor daripada anak itu mati, anak yang kedua boleh dilahirkan dalam masa lima bulan jika si ibu berada dalam keadaan sihat.

Setakat ini rondaan pesat oleh pihak berkuasa telah mampu mengurangkan kegiatan pemburuan haram sebanyak 98 peratus.

Dalam pada itu, undang-undang lebih ketat untuk menangani jenayah hidupan liar juga dijangka dikuatkuasakan bulan ini menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) yang membawa denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan.

-BTS Media

Leave a Comment