Seorang pemerhati sukan mempersoalkan sama ada skuad bola sepak Harimau Malaya berdarjat berbeza berbanding ahli sukan lain setelah dikatakan diberikan layanan istimewa daripada kerajaan berikutan kemenangan mengatasi Bangladesh dan berjaya mara ke Piala Asia 2023 secara merit.
Menurut Zakaria Rahim pasukan lain juga berjaya mencipta kemenangan lebih besar berbanding apa yang diperoleh Harimau Malaya, namun tiada sambutan sebegitu, lapor Berita Harian.
“Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, naib juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023, ranking ke-10 dunia, mana imbuhan? Mereka pulang pun tidak disambut. Ada antara mereka yang kerja juruteknik, kerani dan paling tinggi inspektor polis. Ada yang masih belajar. Mudahnya, majoriti mereka B40.
“Pasukan terjun negara yang rata-rata atlet muda remaja sapu bersih semua lapan pingat emas di Sukan SEA tiada imbuhan, tidak disambut? Separuh daripada mereka anak kampung di Sarawak dan pelajar. Kategori B berapa pula?
“Tiba-tiba pasukan bola sepak yang jadi pasukan yang ke-23 dari 24 pasukan layak ke Piala Asia diberi layanan istimewa dan dipertimbangkan imbuhan? Sedangkan mereka semua bergaji puluhan ribu, berkereta mewah dan golongan T20,” katanya.
Zakaria yang juga bekas pengurus Selangor itu mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mengkaji semula keutamaan dalam memberikan imbuhan khususnya bagi prospek jangka masa panjang dalam sukan bola sepak.
“KBS perlu kaji semula keutamaan untuk memberikan imbuhan. Jika pun mahu beri imbuhan, bukan kepada pemain tetapi kepada pasukan.
“Beri imbuhan kepada pasukan Bawah 17 tahun (B-17) yang rata-ratanya pelajar sekolah yang sedang bersiap untuk layak ke Piala Dunia B-17. Mereka adalah prospek ke Piala Dunia 2030, itu pun kalau serius nak ke Piala Dunia,” tambahnya.
-BTS Media