GURU-guru yang didapati merokok atau menggunakan vape di premis sekolah boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap), berkata bahawa kementerian tidak akan bertolak-ansur terhadap guru yang menggunakan vape, terutamanya di hadapan pelajar.
Beliau berkata perbuatan tersebut melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan yang baik.
Fadhlina juga memaklumkan bahawa kementerian sedang meminda Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Murid) bagi memasukkan larangan merokok dan vape untuk pelajar.
Pindaan ini adalah selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024, yang melarang penjualan produk vape kepada individu di bawah 18 tahun dan menguatkuasakan larangan jualan dalam lingkungan 40 meter dari kawasan sekolah.
-BTS Media