SEORANG remaja didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di Seremban hari ini kerana merokok dalam kawasan mahkamah.
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman selepas remaja berusia 18 tahun itu mengaku bersalah atas kesalahan tersebut semasa prosiding yang diadakan di belakang Mahkamah Trafik Khas.
Mengikut pertuduhan, remaja yang diklasifikasikan sebagai juvana di bawah undang-undang itu didapati merokok dalam kawasan larangan merokok di fasiliti kerajaan.
Kesalahan itu berlaku pada pukul 10.02 pagi pada 18 November tahun lalu di Kompleks Mahkamah Seremban.
Dia didakwa di bawah Subseksyen 17(1) Akta Produk Tembakau Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dibaca bersama Perenggan 3(9) Perintah Produk Tembakau Untuk Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan Atau Tempat Larangan Merokok) 2024.
Mahkamah memerintahkan remaja itu menjalani hukuman penjara seminggu jika gagal membayar denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat merokok dalam Kompleks Mahkamah Seremban oleh seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban.
Pegawai tersebut menghampiri remaja itu dan memaklumkan tentang kesalahannya, selepas itu remaja tersebut membuang rokok yang dipegangnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh PPKP Vivig Dinesh Vigane Swaran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-BTS Media