GAMBAR: The Guardian, UK
POLIS Metropolitan London menahan 474 orang yang menyertai demonstrasi besar-besaran menyokong Palestin di bandar raya itu semalam.
Ia susulan tindakan kerajaan British mengisytiharkan sebagai haram kumpulan “Palestine Action” yang dianggap sebagai sebuah pertubuhan pengganas.
Jumlah penahanan ini adalah yang tertinggi dalam tempoh sekurang-kurangnya sedekad di Britain.
Menurut laporan polis, 466 orang ditahan kerana menunjukkan sokongan kepada Palestine Action, manakala lapan lagi ditahan atas kesalahan lain.
Kumpulan Defend Our Juries, yang menganjurkan protes tersebut, mendakwa seramai 1,000 orang menyertai perhimpunan itu. Mereka menafikan dakwaan kononnya penunjuk perasaan itu adalah pengganas.
Defend Our Juries berkata bahawa demonstrasi tersebut adalah sebagai respons terhadap “genosid ngeri ke atas penduduk Gaza yang disiarkan secara langsung” serta usaha kerajaan British untuk mempertahankan tafsiran “kebebasan kuno” negara.
Seorang jurucakap kumpulan itu berkata pihak polis hanya mampu menahan sebahagian kecil daripada penunjuk perasaan dan menyifatkan undang-undang keganasan yang digunakan sebagai tidak masuk akal.
Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper, mempertahankan keputusan kerajaan untuk mengharamkan Palestine Action.
Tindakan polis ini turut mendapat kritikan daripada Amnesty International, yang menyifatkan penahanan beramai-ramai itu sebagai “amat membimbangkan.”
Ketua Eksekutif Amnesty International UK, Sacha Deshmukh, berkata adalah tidak munasabah menganggap penunjuk perasaan sebagai pengganas, dan penahanan ini membuktikan bahawa skop undang-undang keganasan UK terlalu luas serta mengancam kebebasan bersuara.
Palestine Action diharamkan pada bulan Jun di bawah Akta Keganasan 2000. Keahlian atau sokongan kepada kumpulan itu kini boleh dihukum dengan penjara sehingga 14 tahun.
-BTS Media