BTS Media

Tun Dr. Mahathir di Dataran Merdeka, berucap bersama Muhyiddin

TUN Dr. Mahathir Mohamad tiba di perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka petang ini.

Kehadiran bekas perdana menteri itu menarik perhatian ramai, terutamanya memandangkan beliau baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Dr. Mahathir, yang dilihat mengenakan kemeja-T dan seluar serba hitam, diiringi oleh beberapa pengawal peribadi menuju ke pentas utama pada kira-kira pukul 4.05 petang.

Beliau melangkah dengan tenang membelah lautan hadirin yang basah kuyup akibat hujan di sepanjang Jalan Raja.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut kelihatan menyeberangi padang di Dataran Merdeka. Kedua-dua pemimpin itu menyampaikan ucapan kepada puluhan ribu rakyat di lokasi dan yang mengikuti perkembangan melalui media sosial di serata negara untuk menyuara bantahan terhadap Anwar Ibrahim.

Untuk makluman orang ramai, sebanyak 16 jalan utama di sekitar Dataran Merdeka ditutup bagi memberi laluan kepada perhimpunan ini, yang dijangka akan berakhir selepas pukul 5.15 petang.

Pihak berkuasa telah menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

-BTS Media

Leave a Comment