BTS Media

Selepas “moratorium” dua tahun, sambutan Hari Kebangsaan kembali meriah di Dataran Merdeka

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

Oleh Zainal AS Rashid

DATARAN Merdeka kembali meriah hari ini (31 Ogos) sempena sambutan besar-besaran hari Kebangsaan Ke-65.

Orang ramai dilaporkan bergerak menuju ke lokasi tersebut seawal pukul 5.00 pagi untuk menempah kedudukan paling strategik bagi menyaksikan upacara dan perarakan raksasa yang diadakan di situ.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba pada pukul 8.05 pagi, dengan menaiki kereta kuda diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka.

Ini diikuti dengan lima helikopter membawa Jalur Gemilang dan tembakan 14 meriam mewakili 14 negeri di Malaysia oleh bateri istiadat ke-41 Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil.

Lagu kebangsaan Negaraku dimainkan, bersama kibaran Jalur Gemilang diiringi 65 pemuzik Orkestra RTM diketuai Pengarah Muzik RTM Mokhzani Ismail.

Selepas Negaraku, lagu tema Hari Kebangsaan 2022,  “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” dinyanyikan oleh hadirin bersama barisan 12 artis tempatan.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung berkumpul di Dataran Merdeka hari ini.

Sambutan menyaksikan pembabitan lebih 16,000 peserta bagi persembahan dan perarakan, termasuk 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai agensi serta 76 haiwan daripada unit K9.

-BTS Media

Leave a Comment