Oleh Fetty Rara
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM700,000 akibat tanaman hiasan di sekitar Dataran Merdeka musnah dipijak oleh orang ramai yang hadir untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata jumlah hadirin yang begitu ramai turut menyaksikan sampah sarap dibuang merata.
Beliau memberitahu media pada Sabtu (3 Sept) bahawa DBKL sedang mencari jalan untuk menguruskan isu-isu ini kerana ia adalah cabaran yang perlu tangani.
Menurut Mahadi, DBKL akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai cara-cara menambah baik sambutan Hari Kebangsaan pada masa akan datang.
Bandar raya Kuala Lumpur dibanjiri begitu ramai penonton untuk menyaksikan acara Hari Kebangsaan ke-65 pada Rabu (31 Ogos) pada Rabu lalu setelah sambutan ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Khamis lalu, DBKL menyiarkan video dan beberapa gambar di Facebook yang menunjukkan bagaimana peserta perarakan memijak tanaman hiasan, dan sampah sarap yang begitu banyak ditinggalkan di jalan raya selepas perarakan berakhir.
-BTS Media