BTS Media

ADUN Rawang desak tawar hadiah RM10 Juta untuk maklumat tangkap Jho Low

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, hari ini menggesa Putrajaya supaya menawarkan ganjaran sebanyak RM10 juta bagi maklumat untuk menangkap Low Taek Jho.

Chua berkata bahawa ini adalah penting agar dia boleh dibicarakan dan dihukum di mahkamah, seperti bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata bahawa ganjaran sedemikian akan berbaloi, jika ia membawa kepada penangkapan Jho Low yang telah lama menghilangkan diri, demi keadilan.

Menurut Chua, jumlah ganjaran yang dicadangkan hanya sebahagian kecil daripada lebih RM29 bilion aset 1MDB yang telah berjaya diperoleh semula oleh pihak berkuasa Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa mekanisme ganjaran serupa digunakan oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat, India, dan China untuk menahan pengganas atau penjenayah yang terlibat dalam jenayah kewangan rentas sempadan, termasuk pengubahan wang haram dan rasuah.

Chua menekankan bahawa Jho Low bukan sekadar seorang suspek, tetapi melambangkan sistem yang telah dikompromi, institusi yang dimanipulasi, dan kekayaan negara yang dicuri.

Beliau mempersoalkan bagaimana keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya jika individu yang memegang kunci kepada seluruh skandal itu masih bebas, dan hidup mewah di luar negara.

Ketua PKR Selayang itu mengulangi bahawa kepulangan Jho Low adalah kritikal untuk memastikan siasatan dan pendakwaan 1MDB dapat diteruskan tanpa gangguan.

Beliau berkata ini akan membantu mencegah kejadian seperti pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada berulang disebabkan ketiadaan saksi utama dan bukti yang tidak mencukupi.

Semalam, dilaporkan bahawa Jho Low telah dikesan di sebuah kawasan kejiranan mewah di Shanghai, China. Dia dia dikatakan hidup menggunakan identiti palsu dan bekerja dengan syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan China.

Low dikatakan menetap di sebuah kawasan eksklusif di Shanghai, menggunakan nama samaran Greek, Constantinos Achilles Veis, dan pasport Australia palsu.

-BTS Media

Leave a Comment