BTS Media

Cyprus batal kewarganegaraan Jho Low

Oleh Yusoff A. Shariff

CYPRUS telah bertindak membatalkan kerakyatan Orang Yang Dikehendaki, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Akhbar Cyprus Mail, yang memetik sumber pada Khamis (18 Mei) berkata, Kabinet Cyprus memutus untuk membatalkan kewarganegaraannya berikutan cadangan Menteri Dalam Negeri negara itu.

Agensi Berita Cyprus (CNA) berkata keputusan itu dibuat selepas menerima maklumat baharu mengenai Jho Low.

Perkembangan ini menyusul selepas kerajaan Cyprus pada bulan Mac berkata bahawa mereka tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk membatalkan kerakyatan Low.

Bagaimanapun, berdasarkan data terbaharu pasportnya kini boleh dibatalkan.

Jho Low diberikan kewarganegaraan oleh Cyprus pada tahun 2015.

Low telah memindahkan hampir €6 juta (RM29.4 juta) ke dalam akaun di Bank of Cyprus dan membeli rumah mewah tepi laut di kawasan Ayla Napa dengan harga €5 juta (RM24.5 juta).

Berdasarkan pelaburan itu, dia telah diberikan kewarganegaraan dalam masa hanya dua hari pada tahun yang sama.

Beliau juga menderma sekitar €310,000 (RM1.5 juta) kepada mendiang Uskup Agung Cyprus, Chrysostomos.

Taraf kewarganegaraan Cyprus Jho Low terus kekal walaupun kerajaan melancarkan prosiding untuk membatalkan status itu pada 2021.

Alasannya, adalah kerana secara rasmi Jho Low bukan orang dikehendaki sehingga bulan Oktober 2016, apabila Interpol mengeluarkan notis merah ke terhadapnya.

-BTS Media

Leave a Comment