Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS peguam negara Apandi Ali dibidas kerana dikatakan membantu mengatur pertemuan antara Jho Low (Low Taek Jho) dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi tujuan menyelesaikan kes terhadap orang yang dikehendaki itu.
Beliau sepatutnya menyuruh Jho Low menyerah diri dan dibicarakan berhubung kes skandal rasuah 1MDB.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, memandangkan Apandi pada waktu itu memegang jawatan sebagai Peguam Negara yang antara lain telah membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung kes itu, dia tidak sepatutnya berbincang dengan wakil Jho Low, sebaliknya, menuntut supaya penjenayah itu menyerah diri.
Dalam satu kenyataan, Ramkarpal berkata sebarang percubaan untuk menyelesaikan kes jenayah Jho Low sebagai pertukaran dengan sejumlah wang mungkin dilihat sebagai rasuah.
Oleh yang demikian, beliau berkata Apandi sepatutnya mendedahkan perkara itu jika wakil Jho Low memaklumkan tentang niat tersebut.
Beliau berkata Apandi juga seharusnya mengesahkan sama ada firma guaman Kobre & Kim yang berpangkalan di Amerika Syarikat pernah meminta supaya semua pertuduhan terhadap Jho Low digugurkan dalam pertemuan yang diatur bersama jabatan peguam negara itu.
Ramkarpal turut bertanya sama ada Apandi dibayar oleh peguam Jho Low kerana membantu mengatur pertemuan itu.
“Jika dia dibayar, adakah pembayaran sedemikian dibuat daripada dana 1MDB yang didakwa diambil oleh ahli perniagaan itu.
Beliau berkata sehubungan itu Apandi perlu menjelaskan tanpa berlengah bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang mungkin timbul berikutan rundingan berkenaan.
Semalam (Sabtu 16 Jul), Apandi telah mengesahkan bahawa dia dihubungi oleh peguam Jho Low bagi mengatur pertemuan dengan pihak Jabatan Peguam Negara yang diadakan pada Mei.
Apandi berkata pertemuan yang diatur itu adalah bagi membincangkan pemulangan jumlah wang yang diambil oleh Jho Low daripada 1MDB. Bagaimana pun, pertemuan itu tidak menjadi kenyataan atas sebab-sebab yang hanya dia seorang tahu.
Sementara itu, pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menggesa Peguam Negara Idrus Harun supaya tampil menjelaskan kenapa pejabatnya bersedia untuk bertemu dengan wakil Jho Low itu.
Guan Eng berkata apa yang berlaku memberikan isyarat yang salah bahawa pejabat perundangan tertinggi negara bersedia untuk berbincang dengan penyangak dan orang dikehendaki, walhal sepatutnya tegas menegakkan undang-undang tanpa berbelah bagi.
-BTS Media