BTS Media

Tidak ada hadiah bagi maklumat tentang Jho Low, kata Hamzah

Oleh Zainal AS Rashid

KERAJAAN tidak bercadang untuk memberi ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat penting mengenai keberadaan Low Taek Jho, atau Jho Low, tetapi orang ramai tetap dialu-alukan untuk membantu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen kepada soalan oleh ahli parlimen pembangkang mengenai usaha kerajaan untuk mengenal pasti di mana Jho Low berada.

Menjawab soalan ahli parlimen Lim Lip Eng, Hamzah berkata Polis Diraja Malaysia berpendapat bahawa usaha menerusi Interpol adalah lebih berkesan daripada memberi ganjaran kepada orang ramai yang mengemukakan maklumat terkini mengenai Low dan sekutunya.

Menurut Hamzah, ini kerana Notis Merah yang dikeluarkan oleh Interpol melibatkan kerjasama pelbagai negara, dengan risikan yang lebih tepat.

“Kaedah ini memerlukan mana-mana daripada 195 negara anggota yang mempunyai maklumat mengenai Jho Low untuk menyalurkan maklumat kepada Malaysia, bagi membolehkan ekstradisi,” katanya.

Hamzah menambah bahawa setiap maklumat yang diterima polis berhubung lokasi Low akan diteliti untuk kesahihannya, termasuk melalui kerjasama antarabangsa.

Sebelum ini Lim bertanya sama ada pihak berkuasa telah menghubungi wartawan Tom Wright dan Bradley Hope – pengarang buku Billion Dollar Whale mengenai rasuah yang berleluasa melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) – berikutan dakwaan mereka bahawa Low dan keluarganya dikesan di Shanghai Disneyland di China pada 2019.

Lim juga ingin tahu mengapa kerajaan tidak menawarkan ganjaran untuk maklumat mengenai orang dikehendaki itu, yang dikatakan dalang di sebalik skandal 1MDB.

Berhubung perkara sama, ahli parlimen RSN Rayer meminta menteri memberikan maklumat terkini mengenai langkah yang sedang diambil oleh pihak berkuasa untuk memburu Low.

Menjawab soalan beliau, Hamzah berkata polis tidak berhenti mencari dan terus komited dalam usaha menjejaki Low dan mengekstradisinya ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan jenayah.

Beliau berkata selain mendapatkan Notis Merah Interpol pada 2018, polis juga bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI), serta pihak berkuasa dari Singapura dan negara lain.

“Polis mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Low untuk menyalurkan maklumat itu melalui WhatsApp ke Talian Maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di 013-211 1222, atau kepada balai polis berhampiran.”

-BTS Media

Leave a Comment