BTS Media

Mahkamah Tinggi jatuhkan hukuman penjara Jho Low, bapa kerana tidak patuh injunksi

GAMBAR ATAS: China Press.

 

Oleh Zainal AS Rashid

ORANG dikehendaki yang masih menghilangkan diri, Low Taek Jho dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana gagal mematuhi perintah injunksi Mareva yang diberikan kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Ltd.

Waran komital itu dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz berikutan permohonan yang dibuat oleh peguam bela 1MDB daripada Tetuan Skrine, lapor The Edge.

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga penentuan kes antara plaintif dan defendan.

Pada 12 Ogos, Hayatul memberikan kebenaran kepada 1MDB dan Global Diversified Investment Company (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) untuk memulakan prosiding terhadap kedua-dua mereka.

1MDB dan Global Diversified Investment Company memperoleh injunksi ex-parte Mareva pada 16 Mac, dan ini disahkan pada 20 April, di mana syarikat tersebut memohon untuk membekukan AS$1.03 bilion aset Jho Low dan AS$401.5 juta lagi aset Hock Peng, yang dikaitkan dengan 1MDB.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih RM20,000 sebulan setiap seorang untuk sara hidup dan perbelanjaan guaman.

Jika mereka memerlukan lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada 1MDB dan peguam Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan bahawa Jho Low dan bapanya mesti membuat pendedahan bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka, masing-masing bernilai AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta, sama ada dalam atau luar negara, atas nama mereka sendiri atau sebaliknya, dan sama ada di bawah milikan tunggal atau bersama.

Jho Low dan Hock Peng sepatutnya mendedahkan kepada 1MDB dan Global Diversified Investment Company di mana kedua-dua mereka dan aset mereka berada dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah 16 Mac. Mereka tidak berbuat demikian.

Berikutan itu, 1MDB dan anak syarikat berkenaan telah mengambil tindakan seterusnya.

Kedua-dua Low dan bapanya tiada di Malaysia, dan laporan terbaharu mendakwa bahawa Low secara terang-terangan menjalankan operasi perniagaan di Shanghai, China.

-BTS Media

Leave a Comment