KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengulangi komitmen untuk meningkatkan integrasi kepintaran buatan (AI) dan analitik data merentasi sistem penjagaan kesihatan negara.
Pendekatan strategik ini adalah sebagai tindak balas langsung kepada cabaran kesihatan awam yang semakin meningkat.
Kementerian menegaskan bahawa pelbagai isu ini memerlukan penyelesaian inovatif, berasaskan bukti, dan berteknologi canggih.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam catan Facebook, AI bukannya pengganti kepada penjagaan kesihatan oleh para doktor, tetapi sebaliknya sebagai pemboleh utama untuk pencegahan penyakit awal, pengoptimuman peruntukan sumber, dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih saksama di seluruh negara.
Beliau berkata, langkah-langkah penting telah pun diambil dalam agenda transformasi ini.
Sebanyak l80 klinik setakat ini berjaya beroperasi dengan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS), manakala Rekod Perubatan Elektronik (EMR) diguna pakai oleh 230 klinik dan 22 hospital.
Selain itu, Institut Kesihatan Negara (NIH) telah membangunkan model AI, khusus untuk pengurusan Covid-19, retinopati diabetik, dan kusta.
Dalam perkembangan berwawasan ini, NIH sedang membangunkan Persekitaran Penyelidikan Dipercayai (TRE), yang dijangka menjadi platform analitik berasaskan awan selamat dan kolaboratif.
Kementerian menegaskan bahawa kejayaan transformasi ini tidak hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan.
Ia juga memerlukan penglibatan teguh dan kolektif dari semua pihak berkepentingan, terutamanya penyelidik, pengamal penjagaan kesihatan, dan penggubal dasar, untuk memastikan kejayaan sepenuhnya.
-BTS Media