BTS Media

Elak dakwaan palsu: YouTube wajibkan perakuan benar/tulen bagi akaun penyedia penjagaan kesihatan

Oleh Zainal AS Rashid

DOKTOR, jururawat dan ahli penjagaan profesional kesihatan lain boleh memohon untuk mendapatkan persijilan kesahihan YouTube bagi saluran mereka, kata pengendali platform perkongsian video itu semalam, dalam usaha mengehadkan maklumat salah dan palsu di laman tersebut.

Perubahan itu akan membolehkan penonton mengakses video yang mengandungi “maklumat kesihatan yang benar dan berkualiti tinggi dengan lebih mudah,” kata YouTube.

“Ini adalah langkah besar ke arah membantu orang ramai mencari dan berhubung dengan kandungan secara lebih mudah daripada komuniti profesional penjagaan kesihatan di YouTube,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Selain doktor dan jururawat, ahli profesional kesihatan mental dan penyedia maklumat penjagaan kesihatan juga boleh memohon untuk pengesahan YouTube yang membolehkan video mereka tonton dengan lebih mudah oleh pengguna.

Ramai pengguna YouTube, terutama di Amerika Syarikat didapati menggunakan YouTube untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan perubatan melalui platform itu. Namun demikian, banyak pihak tidak bertanggungjawab membuat pelbagai dakwaan tentang keberkesanan ubat, pemakanan dan herba yang tidak tepat dan berbahaya.

Pada September 2021, YouTube melarang kandungan yang mengelirukan dan tidak tepat tentang vaksin.

Ia juga melancarkan program terhad yang membenarkan video yang dimuat naik ke YouTube mendapat ‘persijilan’ rasmi ketulenan bagi pihak kesihatan awam, hospital, kerajaan, antara lain, yang memberitahu pengguna bahawa nasihat dan produk mereka berwibawa.

Program tersebut kemudian diperluaskan.

Untuk mendapatkan perakuan itu, pihak profesional penjagaan kesihatan mesti mengemukakan bukti lesen mereka, mematuhi amalan terbaik untuk berkongsi maklumat kesihatan berasaskan sains dan mempunyai rekod prestasi baik dalam YouTube.

-BTS Media

Leave a Comment