BTS Media

Mahkamah Tinggi benar SPRM pinda notis beku aset RM780 juta keluarga Daim

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminda notis usul berhubung permohonan membekukan aset bernilai GBP132 juta di London, United Kingdom (UK), yang didakwa milik isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya.

Aset-aset itu dilaporkan merangkumi dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate; dua unit kediaman di Gloucester Place; serta satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) yang didakwa dipegang oleh The Ilham Foundation.

Hakim Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide memberitahu mahkamah bahawa pindaan itu melibatkan penambahan butiran dalam notis usul.

Maziah menjelaskan bahawa permohonan ex-parte itu bertujuan untuk meminda notis usul bertarikh 30 Mei 2025, iaitu untuk menambah butiran alamat dan nombor hakmilik mengikut format pihak berkuasa penguatkuasaan di UK, serta meminda butiran tarikh dan nilai pembelian hartanah tak alih dalam notis usul.

Sementara itu, peguam Syed Afiq Syed Albakri, yang mewakili Na’imah, berkata bahawa enam syarikat, termasuk The Ilham Foundation, telah memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan SPRM untuk membekukan aset-aset yang terlibat, namun Maziah membantah permohonan tersebut.

Hakim Azhar kemudiannya memerintahkan pihak pendakwaan supaya memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan untuk mencelah pada 25 Julai, manakala enam syarikat yang terlibat perlu memfailkan afidavit mereka pada 6 Ogos, dan menetapkan 8 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan aset-aset yang dimiliki oleh Daim, keluarga dan proksi-proksi beliau.

Azam berkata maklumat terkini menunjukkan bahawa aset-aset yang dimiliki oleh Daim, keluarga dan rakan-rakannya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada tahun 2023.

-BTS Media

Leave a Comment