BTS Media

Video AI ‘kereta kabel’ di Hulu Perak, angkara pihak tidak bertanggungjawab

POLIS menggesa orang ramai agar berwaspada terhadap video viral dan kandungan promosi,  terutamanya berikutan video janaan AI baru-baru ini yang memaparkan secara palsu sebuah kemudahan kereta kabel yang kononnya menghubungkan Pangkalan Hulu di Perak ke Baling, Kedah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Timbalan Penguasa Ahmad Salimi Md Ali, berkata tiada aduan rasmi dibuat setakat ini, namun beliau menambah bahawa ia menjadi peringatan untuk mengesahkan kesahihan kandungan yang tersebar di media sosial.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan kandungan tular tanpa pengesahan, kerana dalam era media janaan AI ini, bahan sebegitu boleh tersebar dengan mudah dan menyebabkan kekeliruan.

Ahmad Salini juga mengesahkan bahawa tiada projek kereta kabel sedemikian wujud di daerah itu dan video tersebut adalah kepalsuan semata-mata.

Beliau berkata jika video sedemikian menyebabkan panik atau gangguan yang tidak wajar, ia boleh disiasat di bawah undang-undang sedia ada.

Antara “mangsa” video hampir realistik yang tular di TikTok dan Facebook itu, termasuk sepasang suami isteri pesara dari Kuala Lumpur yang berkunjung ke Baling dengan harapan dapat menaiki “kereta kabel” tersebut.

Realitinya, pemalsuan AI sedemikian mudah dikesan oleh mereka yang arif tentang AI.

Sekiranya diteliti, mudah dikesan ketidakselarasan halus, seperti perkataan tidak dapat dibaca dan tidak masuk akal yang terpapar di kaunter ‘tiket’ dalam video AI tersebut – satu petanda kelemahan biasa bagi kandungan janaan AI, seperti teks yang bukan-bukan.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya, yang turut memberikan pandangannya, mengakui bahawa walaupun klip itu palsu, namun mendakwa kualitinya sangat mengagumkan.

Beliau berkata bahawa walaupun janaan AI, namun oleh sebab ia telah mencetuskan idea menarik, yang menunjukkan rupa bumi dan pemandangan di lokasi berkenaan, projek seperti itu mungkin benar-benar boleh berlaku suatu hari nanti.

-BTS Media

Leave a Comment