BTS Media

Dua ADUN Sabah bersama ahli perniagaan pendedah skandal lesen perlombongan didakwa

GAMBAR ATAS: Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (kanan) dan Datuk Yusof Yacob menunggu untuk membayar ikat jamin.

DUA ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Yusof Yacob, bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Albert Tei Jiann Cheing, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas tuduhan menerima dan menawarkan rasuah yang dikaitkan dengan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Jumlah rasuah yang terlibat adalah sebanyak RM350,000. Andi didakwa menerima RM150,000 manakala Yusof RM200,000 daripada Tei, rakan kongsi dalam syarikat yang memohon lesen tersebut.

Pertuduhan dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang melibatkan kesalahan menerima dan menawarkan rasuah.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.

Ikat jamin ditetapkan sebanyak RM50,000 untuk setiap ADUN dan RM60,000 untuk Tei, dengan syarat penyerahan pasport dan melaporkan diri dua bulan sekali dengan SPRM sehingga kes selesai.

Kesalahan yang didakwa berlaku antara tahun 2023 dan 2024.

ADUN Sindumin dan pengerusi badan pelaburan negeri Qhazanah Sabah Berhad Yusof Yacob, didakwa menerima RM200,000 secara tunai pada 6 Mac 2023 di sebuah Hotel di Kota Kinabalu.

ADUN Tanjung Batu dan Penolong Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy, didakwa menerima RM150,000 pada 12 Mei 2023 di luar kediamannya di Sembulan.

Albert Tei, 37, adalah pelapor maklumat yang merakam secara rahsia video mendedahkan beberapa ahli politik Sabah terlibat dalam rasuah berkaitan lesen perlombongan.

Video-video tersebut diterbitkan oleh portal berita Malaysiakini antara tahun 2023 dan 2024 dan mencetuskan siasatan oleh SPRM.

Walaupun beliau hanya pihak yang mendedahkan skandal itu, namun, Tei tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, dan beliau turut didakwa bersama ahli politik yang didedahkannya.

Skandal ini mempunyai implikasi politik besar di Sabah.

Ramai pemerhati berpendapat bahawa kontroversi ini memberi kesan negatif kepada gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut dianggotai oleh ADUN yang didakwa.

Walaupun Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, disahkan tidak terlibat, kecurigaan masih wujud terhadap beberapa pemimpin GRS lain, yang berpotensi memberi kesan kepada pilihan raya negeri akan datang serta agenda anti-rasuah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

SPRM berkata bahawa pertuduhan ini adalah sebahagian daripada tindakan yang lebih meluas, dengan sekurang-kurangnya 15 ahli politik terlibat dalam aktiviti rasuah serupa jumlah rasuah hampir RM4 juta berkaitan lesen penerokaan mineral.

Siasatan masih diteruskan.

-BTS Media

Leave a Comment