SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah antara tiga individu yang akan didakwa berhubung skandal rasuah lesen perlombongan mineral.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pertuduhan terhadap kesemua suspek akan dibuat pada bulan ini.
Beliau berkata bahawa pihaknya sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah.
Menurut Azam, SPRM sedang dalam proses penangkapan dan pemberitahuan kepada suspek bagi menetapkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
Beliau juga berkata, dua suspek ADUN dan seorang awam sedang dalam proses untuk SPRM menjalankan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
Azam tidak akan memaklumkan tarikhnya sehingga proses ini selesai dan beliau yakin mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini, lapor Sinar Harian di Kota Kinabalu.
Mengulas mengenai ketulenan video yang melibatkan dakwaan beberapa ADUN terlibat skandal rasuah, Azam menyatakan bahawa siasatan tidak sepenuhnya bergantung kepada bukti video tersebut.
Azam berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana risiko sub judis.
Bagaimanapun, beliau berkata sudah tentu bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dinilai dan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu.
Azam menekankan bahawa SPRM tidak hanya bergantung kepada bukti sedia ada semata-mata, sama ada ia tulen atau tidak, tetapi juga perlu mengambil kira bukti-bukti lain.
-BTS Media