BTS Media

Rasuah ADUN Sabah: Kenyataan PM beri tamparan kepada SPRM

KENYATAAN Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak peduli sebesar atau setinggi mana kedudukan seseorang yang terpalit rasuah didakwa memberi tamparan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menolak bukti video dalam skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Dr Ronald Kiandee berkata, alasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bahawa video berkenaan telah disunting dan tiada kredibiliti bertentangan dengan naratif serta kesungguhan Perdana Menteri yang cuba menggambarkan dirinya sebagai pejuang antirasuah.

Dakwanya, video tersebut memaparkan dengan terang lagi jelas mengenai rasuah projek cari gali mineral di negeri tersebut.

“Dalam hal ini, Bersatu Sabah menggesa SPRM meneliti semula kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang menyatakan bahawa video skandal rasuah ADUN Sabah merupakan bukti yang wajib disiasat.

“Malah, Latheefa turut menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pandangan Azam bahawa video yang disunting tidak boleh dijadikan bukti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Ketika berucap merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada Khamis, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak mengizinkan perbuatan rasuah dan akan cuba sedaya upaya membersihkan perbuatan tersebut walaupun ia membabitkan individu berpangkat tinggi.

Isu skandal rasuah ADUN Sabah sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila rakaman video yang didakwa memaparkan urusan rasuah berkaitan projek cari gali mineral di negeri itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, SPRM dilaporkan berkata, rakaman tersebut tidak boleh dijadikan asas siasatan kerana telah disunting.

Dalam pada itu, Ronald menegaskan, SPRM seharusnya bertindak selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang mahu tindakan diambil terhadap semua yang terlibat dalam rasuah tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

“Saya juga pasti SPRM tidak berhasrat melihat Kerajaan Madani ini dilabel sebagai tidak serius dan mengamalkan penyiasatan serta pendakwaan terpilih dalam usahanya memerangi rasuah,” ujarnya.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/715266/berita/politik/rasuah-adun-sabah-kenyataan-pm-beri-tamparan-kepada-sprm

Leave a Comment