GAMBAR: Api susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel masih marak.
IRAN masih meneruskan serangan peluru berpandu ke atas bandar-bandar di Israel awal hari Isnin.
Foto yang disiarkan media menunjukkan bangunan kediaman rosak teruk di Tel Aviv dan kebakaran yang masih marak berhampiran bandar pantai Haifa.
Tentera Israel telah memberi amaran kepada semua penduduk supaya lebih berjaga-jaga kerana peluru berpandu Iran terus menghujani negara Zionis itu.
Seorang wartawan AFP di Baitulmaqdis melaporkan mendengar letupan kuat, manakala  rakaman video menunjukkan sistem pertahanan udara Israel menerangi langit malam dalam usaha mematahkan serangan Iran yang bertubi-tubi.
Konflik yang berterusan sekarang adalah merupakan pertempuran paling sengit dalam beberapa dekad permusuhan berpanjangan antara Israel dan Iran.
Serangan mengejut Israel ke atas Iran minggu lalu telah mencetuskan kebimbangan mengenai konflik berpanjangan yang berpotensi merebak seluruh Timur Tengah.
Israel berdalih dengan mengatakan bahawa serangannya hanya menyasarkan fasiliti ketenteraan dan nuklear, yang juga menyasarkan komander tertinggi dan saintis nuklear Iran, termasuk pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Walau bagaimanapun, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat pada hari Ahad mendedahkan bahawa Presiden Donald Trump telah menasihati Israel agar tidak meneruskan rancangan pembunuhan itu.
Trump dilaporkan menggesa kedua-dua musuh supaya “membuat perjanjian” tetapi dalam masa yang sama memberitahu wartawan bahawa “kadang-kadang mereka perlu berlawan dahulu.”
Pada hari ini juga, Pengawal Revolusi Iran dipetik oleh agensi berita rasmi IRNA bahawa mereka telah “berjaya” menyerang Israel dan berjanji operasi lebih dahsyat akan menyusul.
Pertubuhan Perubatan dan Perkhidmatan Darah Pra-Hospital Kebangsaan Israel Magen David Adom melaporkan bahawa lima orang terbunuh dan 92 cedera dalam serangan Iran terbaharu.
Kedua-dua negara melaporkan berlaku serangan maut di kawasan kediaman masing-masing sejak hari Jumaat.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam mengecam Iran kerana didakwa menyasarkan orang awam, dan berkata bahawa Iran akan akan membayar dengan darah atas pembunuhan tersebut, tanpa melihat apa yang negara Zionis itu lakukan terhadap orang awam Iran.
Jumlah penduduk Israel yang maut sejak Iran menyerang pada hari Jumaat kini semakin meningkat.
Jurucakap angkatan tentera Iran Kolonel Reza Sayyad berkata Israel bakal menyaksikan tindak balas lebih dahsyat. Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya “meninggalkan wilayah yang diduduki (Israel) kerana ia pasti tidak akan lagi dapat didiami selepas Iran berbuat demikian.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian menggesa seluruh rakyat Iran supaya berdiri teguh menentang pencerobohan oleh Israel.
Di AS, Trump dilaporkan berkata bahawa Washington tidak terbabit dalam serangan mengejut Israel ke atas Iran.
Beliau, bagaimanapun, mengancam untuk menggunakan segala “kekuatan dan kehebatan” tentera AS jika Iran menyerang mana-mana kepentingan Amerika di rantau itu.
Diplomat tertinggi Iran Abbas Araghchi menegaskan bahawa Tehran mempunyai “bukti kukuh” AS menyokong Israel dalam serangan tersebut.
Beliau memberitahu diplomat asing bahawa tindakan Iran adalah semata-mata “tindak balas terhadap pencerobohan oleh Zionis di Iran, sambil menambah bahawa jika pencerobohan berhenti, tindak balas mereka juga akan berhenti.
Iran telah membatalkan rundingan nuklear yang dirancang dengan Amerika Syarikat, kerana  menganggapnya lagi “tidak bermakna”.
Dalam usaha membanteras musuh dalam selimut, badan kehakiman Iran hari ini mengumumkan bahawa seorang ejen yang disabitkan kesalahan menjadi tali barut perisikan Mossad Israel telah dihukum digantung.
Israel pula berkata mereka menahan dua individu atas dakwaan kaitan dengan perisikan Iran.
-BTS Media