PADA hari Sabtu, ketika perarakan tentera ala negara Komunis berlangsung di Washington D.C, jutaan orang ramai di seluruh AS keluar untuk membantah tindakan melampau bersifat diktator pentadbiran Presiden Donald Trump.
Bantahan “No Kings” (Tiada Raja), yang dianjurkan oleh gabungan lebih 100 kumpulan aktivis, berlaku di 2,100 lokasi di seluruh AS dan di beberapa bandar di luar negara.
Penganjur menganggarkan bahawa jutaan orang menyertai, termasuk lebih 200,000 di bandar raya New York dan lebih 100,000 di Philadelphia.
Bantahan tersebut menjadi semakin rancak selepas Trump mengerahkan pasukan Pengawal Kebangsaan dan tentera Marin ke Los Angeles untuk membanteras demonstrasi terhadap dasar pengusiran pendatang beliau, satu langkah yang mencabar pihak berkuasa negeri dan tempatan.
Walaupun kebanyakan bantahan berjalan secara aman, beberapa di Los Angeles dan Portland diisytiharkan sebagai perhimpunan menyalahi undang-undang dan disambut dengan gas pemedih mata.
Hari itu juga dicemari oleh keganasan, termasuk kejadian pembunuhan dua ahli politik Demokrat di Minnesota.
Pembunuhan yang dianggap sebagai bermotifkan politik itu, termasuk suami seorang daripada mangsa.
Walaupun polis dan gabenor Minnesota lantang mengeluarkan amaran, namun ribuan peserta masih enggan berganjak, dan terus tegar membantah keganasan politik.
Di Texas, sumber berkata ancaman ganas juga ditujukan kepada ahli dewan yang merancang untuk menghadiri demonstrasi “No Kings”.
Sementara itu, di Philadelphia, ribuan penunjuk perasaan berarak sambil memegang sepanduk dan melaungkan slogan anti-Trump.
Seorang peserta menyatakan kekecewaan terhadap perarakan tentera yang digambarkan sebagai “pertunjukan kuasa songsang dan tidak perlu.”
Gabenor Republikan di beberapa negeri, seperti Texas dan Florida yang pro-Trump berkata  bahawa pasukan penguat kuasa dan polis akan menumpaskan sebarang bantahan. Lebih dahsyat, gabenor Florida berkata jika mereka ingkar, orang ramai boleh secara sah menggunakan kereta untuk merempuh perarakan yang diadakan.
Walaupun berjalan tanpa insiden, namun beberapa ancaman terus dikeluarkan oleh puak pro Trump.
Di Georgia, polis cuba menyuraikan bantahan dengan bom  asap dan gas pemedih mata di kawasan kejiranan yang mempunyai ramai penduduk Hispanik.
Di San Francisco dan Virginia, satu kejadian berlaku di mana seorang pemandu dilaporkan merempuh penunjuk perasaan, hingga menyebabkan kecederaan.
Di Los Angeles, penunjuk perasaan, ramai yang membawa bendera AS membaling objek ke arah sebuah bangunan persekutuan, hingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.
Ejen persekutuan di Portland juga menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang cuba menceroboh kemudahan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam.
Gabungan “No Kings” sengaja tidak mengadakan bantahan di Washington D.C. untuk menonjolkan perbezaan dengan perarakan tentera dan bagi mengelakkan presiden daripada mengambil tindakan keras terhadap bantahan aman.
Walau bagaimanapun, sebuah kumpulan berasingan, Refuse Fascism, masih berarak ke White House untuk membantah penghantaran tentera oleh Trump ke Los Angeles dan ucapannya yang bersifat memihak kepada tentera.
Trump, sebelum ini mengacam akan mengambil tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan.
Apabila ditanya mengenai bantahan “No Kings”, Trump berkata beliau tidak “merasa seperti raja” dan perlu “melalui kesulitan untuk mendapatkan sebarang kelulusan.”
Sejak permulaan penggal kedua beliau, penentangan terhadap Trump semakin meningkat, dengan kajian Harvard Crowd Counting Consortium menunjukkan peningkatan bantahan sebanyak tiga kali ganda pada akhir Mac 2025 berbanding 2017.
-BTS Media