BTS Media

[Kemaskini] Tragedi udara Ahmedabad: seorang penumpang terselamat dalam nahas pesawat Air India

SEBUAH pesawat penumpang Air India yang dalam perjalanan ke London dengan lebih 200 orang di dalamnya terhempas pada hari Khamis di bandar Ahmedabad, barat laut India.

Media tempatan melaporkan saksi berkata asap hitam berkepul-kepul kelihatan dari lokasi pesawat tersebut terhempas di kawasan berpenduduk berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad, sebuah bandaraya didiami lebih 5 juta penduduk dan ibu negeri Gujarat, iaitu negeri asal Perdana Menteri Narendra Modi.

Anggota bomba berjaya memadamkan api pada bangkai pesawat yang dikatakan membawa tangki penuh bahan api sejurus selepas berlepas.

Sebuah bangunan bertingkat berhampiran turut terbakar.

Berpuluh mayat rentung kelihatan berselerak di sekitar kawasan.

Perdana Menteri British, Keir Starmer, dalam satu kenyataan, berkata nahas yang turut membabitkan ramai warga British dalam penerbangan menuju ke London itu sangat menyedihkan.

Menurut sebuah rangkaian TV India, pesawat itu terhempas di atas ruang makan sebuah asrama kolej perubatan, dan visual menunjukkan sebahagian daripada pesawat itu berada di atas bangunan.

Laporan awal tidak dapat memastikan sama ada terdapat pelajar perubatan dalam asrama bangunan terbabit semasa nahas.

Pesuruhjaya Polis G.S. Malik memberitahu The Associated Press bahawa nampaknya tiada mangsa yang terselamat, bagaimana pun, laporan terbaharu berkata seorang penumpang di tempat duduk 11A terselamat.

Beliau berkata, memandangkan pesawat itu terhempas di kawasan kediaman dan pejabat, kemungkinan besar ada juga mangsa lain terbunuh.

Dalam satu hantaran media sosial, Modi menyifatkan nahas itu sebagai kejadian yang amat perit bagi India.

Menurut syarikat penerbangan Air India, pesawat yang menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London itu membawa lebih 200 penumpang dan anak kapal. Daripada jumlah itu, terdapat 169 warga India, 53 warga British, tujuh warga Portugal, dan seorang warga Kanada.

Ketua pengarah direktorat penerbangan awam India, Faiz Ahmed Kidwai, memberitahu AP bahawa penerbangan Air India 171 Boeing 787-8, itu terhempas di kawasan kediaman Meghani Nagar lima minit selepas berlepas pada pukul 1:38 petang waktu tempatan.

Beliau berkata 244 orang berada di dalam pesawat dan setakat ini angka mangsa nahas belum dapat diseleraskan dengan angka mangsa bukan penumpang.

Menurut pangkalan data Aviation Safety Network, 787 Dreamliner adalah pesawat berbadan lebar, dua enjin. Ini merupakan nahas pertama membabitkan pesawat Boeing 787.

Boeing berkata bahawa mereka telah dimaklumkan tentang nahas tersebut, dan sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak butiran.

Laman web flightradar24 melaporkan bahawa pesawat itu diperkenalkan pada tahun 2009, dan lebih daripada 1,000 telah dihantar kepada berpuluh-puluh syarikat penerbangan di serata dunia.

Menteri Kabinet British Lucy Powell berkata kerajaan akan memberikan segala sokongan yang mungkin bagi waris mangsa.

Beliau memberitahu ahli parlimen di House of Commons bahawa apa yang berlaku pasti memberikan kesan emosi mendalam kepada keluarga mangsa dan masyarakat setempat.

Banci United Kingdom 2021 menunjukkan bahawa Britain mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan India, dengan hampir 1.9 juta orang di negara itu berketurunan India.

Nahas pesawat penumpang besar terakhir di India adalah pada tahun 2020, apabila sebuah Boeing-737 Air India Express tergelincir dari landasan bukit di selatan India, dan membunuh 21 orang.

Bencana udara terburuk di India adalah pada 12 November 1996, apabila penerbangan Saudi Arabian Airlines bertembung di udara dengan Penerbangan Kazakhstan Airlines berhampiran Charki Dadri di wilayah Haryana, dan menyebabkan kematian kesemua 349 orang di dalam kedua-dua pesawat.

Nahas itu berlaku beberapa hari sebelum pembukaan Pameran Udara Paris, iaitu ekspo penerbangan di mana Boeing dan pesaing Eropah Airbus mempamerkan pesawat mereka dan bersaing untuk tempahan jet daripada pelanggan syarikat penerbangan.

Boeing sedang dalam mod pemulihan sejak lebih enam tahun selepas Penerbangan Lion Air 610, Boeing 737 Max 8, menjunam ke Laut Jawa di luar pantai Indonesia beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta, dan membunuh kesemua 189 orang di dalamnya.

Lima bulan kemudian, sebuah pesawat Boeing 737 Max 8 Ethiopian Airlines, terhempas selepas berlepas dari Addis Ababa, Ethiopia, membunuh 157 penumpang dan anak kapal.

Susulan kejadian terbaharu ini, saham Boeing Co. menjunam hampir 9% sebelum dagangan dibuka di Amerika Syarikat.

-BTS Media

Leave a Comment