BTS Media

Ibu gajah kembali ke habitat asal bersama kumpulannya

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berada dalam keadaan serba salah semasa tragedi yang menyentuh hati kematian seekor anak gajah di lebuh raya Gerik-Jeli baru-baru ini.

Ibu gajah yang berduka itu, kini selamat kembali ke habitat asal, dan menyertai semula kumpulannya, justeru sedikit sebanyak memberikan kelegaan, namun bermakna.

Akhbar NST memetik pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff, berkata bahawa ketibaan pasukan jabatan itu di tempat kejadian adalah saat yang sangat menyayat hati.

Beliau berkata bahawa ibu gajah itu tidak cuba menyerang sesiapa pun, tetapi hanya mahukan anaknya kembali, dan kelihatan cuba menolak lori untuk membebaskan anaknya yang terpelsosok di bawah.

Apa yang berlaku seterusnya menggambar naluri ibu yang melakukan segala yang terdaya, dan enggan menyerah.

Selepas kejadian, ibu gajah yang dianggarkan berusia antara 25 dan 27 tahun itu terus berdiri di tepi lori berjam-jam untuk melindungi anaknya.

Kini, ibu gajah tersebut telah kembali bersama kumpulannya, seperti mana kebiasaan bagi gajah betina, yang hidup dalam kelompok matriarki.

Menurut Yusoff, gajah betina bergerak dalam kumpulan, diketuai oleh seekor matriark yang lebih tua, dan apabila gajah jantan mencapai usia sekitar 16 atau 17 tahun, mereka meninggalkan kumpulan dan mula merayau bersendirian.

Yusoff juga menolak dakwaan bahawa ibu gajah itu telah kembali ke tempat kemalangan beberapa hari kemudian.

Beliau menjelaskan bahawa itu bukan ibunya, tetapi ia adalah seekor gajah jantan, yang dapat dikenali melalui gadingnya. Gajah betina tidak mempunyai gading dan mereka bergerak dalam kumpulan, manakala gajah jantan biasanya hidup bersendirian.

Menurut beliau lagi, Perhilitan akan mengeluarkan rakaman video gajah betina itu menyertai semula kumpulannya tidak lama lagi.

Beliau mengimbas kembali bahawa laporan kejadian itu diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik sekitar pukul 3 pagi.

Memandangkan lokasi kejadian berhampiran sempadan Kelantan, jabatan Perhilitan segera menghantar pasukan dari Gerik, yang tiba di tempat kejadian dalam masa kira-kira 30 minit.

Yusoff berkata, memandangkan keadaan ketika itu, bantuan merentasi sempadan negeri juga segera digerakkan dari Jeli.

Beliau berkata tindak balas terhadap kejadian melibatkan gajah tidak boleh dilakukan seorang diri, terutamanya pada tengah malam.

Pasukan Perhilitan perlu datang bersedia, lengkap dengan senapang pelali dan peralatan sedasi, yang bukan bertujuan untuk melindungi pegawai mereka, tetapi juga sebagai persiadaan untuk menghadapi apa sahaja yang mungkin berlaku.

Pasukan respons terpaksa bertindak dengan berhati-hati, kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan, termasuk menilai persekitaran, memahami tingkah laku gajah itu, dan memastikan tiada siapa — malah gajah itu sendiri — dicederakan dalam proses tersebut.

Yusoff berkata pada mulanya, mereka cuba menghalau ibu gajah itu, tetapi ia enggan berganjak.

Memandangkan lalu lintas mulai sesak, dan keadaan semakin tegang, beliau dihubungi untuk mendapatkan panduan.

Beliau kemudian menasihatkan petugas supaya mencari jalan untuk menenang dan memindahkan ibu gajah itu.

Yusoff berkata bahawa setiap langkah memerlukan penyelarasan rapi dan berhati-hati — dari memanggil trak tunda hingga mempertimbangkan penggunaan jentolak untuk membersihkan jalan.

Bagi orang ramai yang mempersoalkan mengapa ibu gajah itu tidak dibenarkan pada saat terakhir bersama anaknya, Yusoff berkata mereka cuba menenangkannya, tetapi tidak boleh membiarkannya lama, kerana ia boleh mencetuskan tekanan, justeru menjadikan si ibu gajah agresif.

Dalam pada itu, mereka juga tidak boleh terus menenangkan seekor gajah berulang kali, kerana proses dan pendekatan untuk menenangkan haiwan liar adalah rumit dan melibatkan anggaran dos ubat pelali yang teliti berdasarkan usia, berat, dan keadaannya.

-BTS Media

Leave a Comment