BTS Media

Guna wang kutipan derma Jumaat semua masjid di Perak untuk beli tanah Masjid Ar-Ridzuan

KERAJAAN negeri Perak akan menggunakan dana kutipan derma solat Jumaat dari masjid di seluruh negeri bagi mengelakkan sebahagian Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai dirobohkan.

Langkah ini diambil akibat isu pemilikan tanah masjid yang didirikan di atas tanah wakaf, namun sebahagiannya telah dijual kepada seorang individu berbangsa Cina yang kini menuntut hak ke atas tanah tersebut.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menyuarakan kebimbangan dan rasa malu sekiranya tuntutan pemilik tanah tidak dipenuhi, yang boleh mengakibatkan perobohan sebahagian struktur masjid. Isu ini sebelum ini dibangkitkan oleh ADUN Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali.

Menurut beliau, cucu kepada pewakaf tanah asal telah menjual sebahagian tanah wakaf tersebut, menyebabkan ia kini didaftarkan atas nama pemilik baharu yang bukan beragama Islam.

Kegagalan memenuhi tuntutan pemilik tanah ini akan membawa kepada implikasi besar, termasuk kemungkinan perobohan sebahagian masjid yang merupakan tempat ibadah penting bagi masyarakat setempat.

Dalam sidang media semalami sempena Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Ta’addud Jumaat seluruh Negeri Perak, Saarani berkata beliau telah berbincang dengan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim; Yang Dipertua MAIPk, Mohd. Annuar Zaini; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh untuk mencari penyelesaian segera.

MAIPk memaklumkan bahawa kutipan derma solat Jumaat masjid-masjid di seluruh negeri berjumlah adalah antara RM5 hingga RM7 juta sebulan. Justeru, Menteri Besar menyeru umat Islam di Perak supaya menyumbang bagi menebus tanah bernilai RM1.8 juta itu.

JAIPk telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri mengenai keperluan mendesak ini.

Menurut Saarani, adalah suatu kerugian besar dan memalukan jika masjid terpaksa dirobohkan hanya disebabkan tuntutan daripada individu bukan Islam yang kini memiliki tanah tersebut secara sah.

-BTS Media

Leave a Comment