BTS Media

Dua Adun PH Perak gesa PAC siasat tanah lapangan terbang dijual

Dua Adun Pakatan Harapan (PH) Perak secara rasmi membuat petisyen kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) negeri menggesa ia menyiasat penjualan tanah negeri di Seri Iskandar yang diperuntukkan untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Menurut Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing dan Adun Keranji Chong Zhemin, jawatankuasa itu perlu mendapatkan dokumen berkaitan daripada kerajaan negeri dan menentukan sama ada urus niaga itu tidak melanggar sebarang kesalahan.

Kedua-duanya – yang merupakan ahli PAC Perak – mengadakan sidang media di pejabat PAC pagi ini sebelum menyerahkan surat itu kepada pejabat Pengerusi PAC Perak Mohd Tarmizi Idris.

“Kita harap perkara ini bukan sekadar perang mulut. Memandangkan terdapat dakwaan yang berbeza tentang cara penjualan berlaku, penjelasan yang lebih terperinci diperlukan.

“Ini sangat penting bukan sahaja untuk menentukan pihak berkuasa mana yang telah meluluskan penjualan tanah itu. Proses Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjual tanah kepada perusahaan swasta, penetapan harga, mekanisme pembayaran dan sebagainya, mesti dipastikan,” kata Tan.

Tan berkata PAC hanya bermesyuarat sekali sejak ia ditubuhkan pada Ogos tahun lepas, dan berharap Tarmizi akan menyegerakan mesyuarat seterusnya.

Sementara itu, Chong mencadangkan jawatankuasa itu perlu mengkaji isu itu dari tiga aspek.

“Pertama, sama ada proses sewajarnya diikuti dalam penjualan tanah itu, dan jika tidak, sama ada kerajaan negeri boleh membatalkan perjanjian itu dan menuntut semula tanah itu.

“Kedua, sama ada harga tanah itu berpatutan atau di bawah harga pasaran, dan sama ada terdapat rasuah yang terlibat dalam transaksi itu.

“Ketiga, bagaimana tanah itu dijual walaupun telah diwartakan sebagai rizab lapangan terbang, malah telah mendapat kebenaran merancang,” katanya.

Chong turut menggesa Menteri Besar Perak Saarani Mohamad supaya menggantung atau membatalkan kebenaran merancang tanah itu sementara menunggu siasatan.

Sebelum ini, Saarani berkata tanah yang diperuntukkan untuk lapangan terbang antarabangsa baru itu telah dijual kepada syarikat swasta semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) negeri itu.

Bagaimanapun, Asmuni Awi – yang merupakan ahli exco negeri dan pengarah PKNP ketika itu – berkata tiada penjualan sedemikian pernah dibincangkan semasa mesyuarat exco negeri atau mesyuarat lembaga PKNP.

SPRM sedang menyiasat perkara itu selepas menerima aduan daripada Asmuni.

Saarani berkata dia akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

Mengenai gesaan untuk membatalkan kebenaran merancang tanah itu, Bernama memetik menteri besar itu hari ini berkata bahawa perkara itu adalah bidang kuasa Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

“Dalam kes ini, presiden MDPT yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan perkara itu (membatalkan kebenaran merancang) yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang,” katanya.

https://m.malaysiakini.com/news/617184

Leave a Comment