BTS Media

“Impak serius” tarif AS ke atas Pulau Pinang, kata Ketua Menteri

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang antara yang paling teruk terjejas akibat pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat.

Menurut beliau ini memandangkan hubungan perdagangan dengan AS, di mana eksport bernilai RM76 bilion, atau 17% daripada jumlah keseluruhan eksport, adalah ke negara tersebut.

Ini menjadikan AS destinasi eksport kedua terbesar dari Pulau Pinang.

Beliau menekankan bahawa AS merupakan rakan dagang utama, dengan catatan lebihan dagangan sebanyak RM57.7 bilion pada tahun lepas.

Justeru, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa tarif ini boleh memberikan impak yang sangat serius kepada ekonomi Pulau Pinang, selain negeri-negeri lain di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa sidang khas Dewan Rakyat pada hari Isnin (5 Mei), yang diadakan khusus untuk membincangkan kesan tarif AS.

Menyedari potensi ancaman ini terhadap ekonomi Pulau Pinang, Chow berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan petugas pemantauan tarif dan memperkenalkan kaedah bagi membantu pengeksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu menghadapi perubahan landskap perdagangan yang bergolak sekarang.

Dalam pada itu, beliau menyeru kerajaan persekutuan supaya berkerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, termasuk Pulau Pinang, dalam membantu PKS mengharungi ketidaktentuan ekonomi yang dijangka timbul.

Chow berharap agar rundingan dengan AS membuahkan hasil yang saling menguntungkan dan adil bagi kedua-dua pihak, dan seterusnya mengurangkan kesan negatif terhadap Pulau Pinang.

Menurut Chow, penyelesaian jangka panjang amat perlu bagi memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS, demi kestabilan ekonomi Pulau Pinang.

Ke arah itu, beliau mencadangkan bahawa pelantikan seorang duta ke Amerika Syarikat adalah amat perlu, bukan sahaja bagi menjaga kepentingan Malaysia tetapi juga untuk menyampaikan suara dan aspirasi Pulau Pinang ke peringkat tertinggi kepimpinan AS.

Bagi Chow, penghantaran delegasi dan menteri ke Washington, DC setiap kali isu timbul bukanlah penyelesaian secara jangka panjang untuk Pulau Pinang dan Malaysia.

Beliau juga mencadangkan agar ASEAN mengadakan sidang kemuncak khas dengan AS.

Ini, katanya adalah untuk menyuarakan aspirasi ekonomi serantau, dengan penekanan bahawa ASEAN perlu bersatu dalam menyampaikan pendiriannya, yang secara tidak langsung akan memberi perlindungan kepada kepentingan ekonomi Pulau Pinang dalam konteks serantau.

Beliau merujuk kepada pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump pada 2 April,  merangkumi duti asas 10% ke atas semua negara dan levi lebih tinggi iaitu 24% ke atas barangan Malaysia, yang pastinya akan memberi kesan ketara kepada eksport dari Pulau Pinang.

Chow berkata, walaupun pelaksanaan tarif ini ditangguhkan selama 90 hari, kecuali untuk China, memberikan sedikit kelegaan, namun ia tidak menghilangkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

-BTS Media

Leave a Comment