GAMBAR: NSTP.
Oleh Yusoff A. Shariff
PELAYARAN Persiaran Matahari Terbenam (sunset cruise) Jambatan Pulau bakal menambahkan lagi aset pelancongan di pulau itu.
Pelayaran santai waktu petang, yang diadakan pada hujung minggu buat masa ini, akan memberi pelancong dan penduduk tempatan peluang untuk menjamu selera di atas feri sementara menikmati suasana petang di sekitar perairan jambatan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Sasedharan Vasudevan berkata inisiatif itu merupakan pencapaian penting bagi industri pelancongan Pulau Pinang.
“Penonjolan keindahan mercu tanda Pulau Pinang dengan cara yang baharu ini bertujuan untuk merancakkan lagi perniagaan tempatan,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran pakej pelayaran itu.
Sasedharan berkata buat masa ini PPSB bekerjasama dengan pengusaha restoran, tetapi mengalu-alukan mana-mana syarikat, termasuk orang ramai yang ingin menyewa feri untuk acara persendirian.
Beliau berkata, pihak restoran akan menguruskan makanan dan tiket bagi mereka yang ingin menempah feri.
“Pelayaran ini menggunakan salah satu daripada empat feri baharu yang dibeli oleh PPSB.
“Bagi ‘cruise’ biasa, PPSB enggunakan hingga tiga feri, berdasarkan tahap permintaan,’ katanya.
Menurut beliau lagi, sebuah feri sentiasa berada sebagai simpanan, dan ia digunakan untuk Penang Bridge Sunset Cruise ini.
“Buat masa ini, pihak restoran menyewa feri untuk pakej Penang Bridge Sunset Cruise Buffet pada hujung minggu (dari pukul 5 petang hingga 8 malam),” katanya.
Penang Bridge Sunset Cruise yang bermula semalam (16 Dis), berlepas dari Pangkalan Raja Tun Uda di George Town.
Kapasiti ‘cruise’ ini terhad kepada 100 penumpang bagi setiap pelayaran yang memakan masa tiga jam.
Harga tiket RM148 untuk dewasa dan RM68 untuk kanak-kanak (12 tahun ke bawah) yang disertakan dengan bufet makan malam di atas feri.
Tiket boleh dibeli melalui SeaQueen dengan menghubungi WhatsApp 019-4020299 atau 013-3060299.
-BTS Media