BTS Media

Pelancongan: Pulau Pinang, Langkawi jalin kerjasama

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Fetty Rara

KERAJAAN negeri Pulau Pinang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan bekerjasama untuk meningkatkan daya saing pelancongan negara untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan di rantau ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PETACE), Yeoh Soon Hin berkata Pulau Pinang dan Langkawi adalah antara kawasan tumpuan pelancong.

Bagi Pulau Pinang tarikan pelancongannya berasaskan warisan budaya, manakala Langkawi  menawarkan alam semula jadi dan pelbagai aktiviti di pantai yang indah.

Beliau berkata kerjasama ini mampu mempengaruhi pelancong untuk bercuti ke destinasi lain di Malaysia, justeru memastikan hasil berada dalam negara, dan seterusnya memberi kesan baik kepada ekosistem pelancongan dan komuniti tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, Yeoh turut menjelaskan tentang tanggapan tidak tepat orang ramai seolah-olah Pulau Pinang dan Langkawi bersaing, walhal sebenarnya kedua-dua destinasi saling melengkapi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas kerajaan Pulau Pinang dan LADA menandatangani surat niat (LOI) tentang kerjasama itu.

Beliau berkata secara prinsip Pulau Pinang dan LADA bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa kerja bersama untuk promosi silang, terutama bagi Langkawi UNESCO Global Park dan Penang UNESCO Biosphere Reserve.

-BTS Media

Leave a Comment