LEBIH 1.4 juta penduduk Pulau Pinang hari ini berdepan masalah air.
Bagaimanapun, mereka yang tinggal di kondo dan pangsapuri tidak begitu terkesan kerana menggunakan bekalan daripada tangki simpanan air di atas bumbung bangunan.
Walaupun secara rasmi bekalan air dihentikan pada pukul 10 malam hari Jumaat (25 April), kesibukan penduduk dan perniagaan mengisi bekas air untuk simpanan menyebabkan tekanan air menjadi sangat rendah.
Keadaan itu mengakibatkan penduduk di pinggir rangkaian bekalan air kehilangan bekalan air beberapa jam lebih awal.
Sejak malam hari Jumaat (26 April) pekerja Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah memulakan tugas pengalihan laluan paip berdiameter 1.5 meter yang membekalkan air terawat ke Pulau Pinang supaya ia melintasi Sungai Perai dan bukan melalui bawahnya.
Tahun lepas, paip asal bawah sungai yang dipasang pada tahun 1973 telah pecah hingga menyebabkan air terawat memancut setinggi 30 meter di tengah Sungai Perai. Kerja pembaikan awal yang dilaksanakan telah menyebabkan gangguan bekalan air berpanjangan.
Kini, kerja-kerja memasang paip baharu di atas sungai sekali lagi menyebabkan gangguan bekalan air bagi penduduk Pulau Pinang.
PBAPP memaklumkan tentang perkembangan kerja-kerja pembaikan secara berkala dari semasa ke semasa melalui akaun media sosial PBAPP Penang.
Sementara itu, sebuah syarikat tempatan telah membangunkan aplikasi laman web untuk membantu penduduk Pulau Pinang mengenal pasti kawasan yang mengalami gangguan air secara terperinci, sehingga ke jalan-jalan tertentu.
Aplikasi berasaskan web (penangwatermonitor.sevena.com.my) itu yang kini dalam fasa ujian, mengumpulkan maklumat daripada laporan komuniti.
-BTS Media