Oleh Yusoff A. Shariff
PENDUDUK daerah Manjung, Perak masih berdepan masalah gangguan bekalan air.
Turut terjejas, penduduk Pulau Pangkor yang antara lain mendapat bantuan bekalan air daripada dari Balai Polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor, lapor BH.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Norhaslina zakaria (PN), sebanyak 6,700 botol air mineral 500ml yang disumbangkan oleh pihak Marina Island Pangkor telah dihantar ke pulau tersebut petang Sabtu (1 April) dari Jeti Marina Island, Lumut.
Dalam catatan Facebook, beliau berkata setiap keluarga di pulau itu diberikan satu karton air mineral mengandungi 24 botol.
Penghantaran itu amat dinantikan oleh penduduk Pulau Pangkor yang turut menantikan ketibaan bekalan di Jeti Pulau Pangkor.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan,Ketua Pegawai Eksekutif Marina Island, Ding Mei Looi, berkata pihaknya turut membenarkan orang ramai di sekitar Manjung yang terjejas bekalan air mengambil air secara percuma di premis Pro Cut Auto, Marina Island, di Lumut.
“Oleh sebab masih ramai warga Manjung memerlukan air, maka  pemberian air secara percuma ini dilanjutkan 24 jam sehingga diberitahu,” katanya ketika dihubungi BH.
Terdahulu, dilaporkan sebanyak 79,360 akaun pengguna di daerah Perak Tengah dan Manjung mengalami gangguan bekalan air sejak kelmarin berikutan pemberhentian operasi di Loji Rawatan Air Teluk Kepayang.
Lembaga Air Perak (LAP) melalui kenyataan berkata operasi terpaksa diberhentikan akibat paip terputus di muka sauk kerana pergerakan tanah.
Menurut LAP, bekalan air akan pulih pada Isnin secara berperingkat.
-BTS Media