PELAJAR dan kakitangan sebuah sekolah antarabangsa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dikejutkan dengan kejadian runtuhan sebahagian tembok sekolah akibat tanah runtuh kecil pada pagi hari Rabu.
Menurut komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azkhan Hamdan, kejadian yang dipercayai berlaku sekitar pukul 7 pagi itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pelajar mahupun penduduk di kawasan berhampiran.
Pihak bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut melalui talian MERS 999 pada pukul 7.18 pagi.
Pasukan respons pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat TTDI dan Sri Hartamas tiba di lokasi bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Service (EMRS), bersama 15 anggota.
Sebahagian tembok sekolah itu runtuh, dipercayai berpunca daripada tanah runtuh.
Kejadian itu turut menjejaskan dua buah kenderaan serta beberapa bahagian bangunan sekolah, termasuk bilik darjah, bilik guru, tandas, dan perpustakaan.
Pasukan bomba menjalankan operasi penilaian dan mengesahkan keadaan terkawal pada pukul 7.55 pagi.
Pihak bomba kemudian menyerahkan tanggungjawab selanjutnya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
-BTS Media