GAMBAR ATAS: Pusat Peranginan Bukit Larut.
PUSAT Peranginan Bukit Larut (Maxwell Hill) di Taiping ditutup kepada orang ramai susulan tanah runtuh berikutan hujan lebat pada pukul 3.00 petang Khamis.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook, pihak Pengurusan Bukit Larut berkata kejadian telah menyebabkan jalan untuk naik turun ke puncak bukit itu terhalang oleh runtuhan tanah dan pokok tumbang di KM 10.
“Susulan kejadian, kawasan peranginan berkenaan telah ditutup sepenuhnya daripada sebarang aktiviti bagi mengelak risiko. Kita akan maklumkan dan kemas kini tempoh penutupan ini selepas (pemeriksaan) tahap keselamatan dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak,” menurut kenyataan itu.
Beberapa gambar yang dikongsi di Facebook menunjukkan keadaan tanah runtuh yang turut berlaku di laluan jalan berdekatan Tea Garden Bukit Larut.
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bertindak menutup bahagian laluan yang runtuh dengan plastik bagi membantu mengurangkan hakisan berterusan, serta kon dan pita sebagai langkah keselamatan.
-BTS Media