JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan pengimport supaya menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dari pasaran tempatan.
Ketua Pengarahnya, Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata arahan tersebut dikeluarkan berikutan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada hari sebelumnya berhubung penarikan balik produk-produk berkenaan.
Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, didapati bahawa hasil pemantauan bersama BPOM berjaya mengesan 11 kelompok pengeluaran (‘batch’) daripada sembilan produk makanan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.
Daripada jumlah itu, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua ‘batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.
Dr Sirajuddin juga berkata pihaknya memandang serius perkara ini, dan menyokong penuh tindakan tegas pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.
Beliau berkata sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap produk-produk berkenaan sekiranya dikesan berada dalam pasaran tempatan.
Beliau juga berkata JAKIM telah mengarahkan pihak pengimport yang terlibat supaya segera menghubungi JAKIM melalui e-mel dan menarik balik produk-produk tersebut dari pasaran Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini adalah selaras dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta bagi memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini.
Dr Sirajuddin menyeru orang ramai agar turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan, sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran.
Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
-BTS Media