BTS Media

Rafah hancur: 90 peratus kawasan kediaman musnah akibat serangan Israel

GAMBAR: Anadolu

PIHAK berkuasa di Gaza berkata tentera Israel telah memusnahkan lebih 90 peratus kawasan kediaman di bandar Rafah, selatan Gaza sejak Oktober 2023.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata tentera Israel telah meratakan kawasan seluas 12,000 meter persegi di Rafah, dan menggambarkan bandar itu sebagai ” contoh genosid dan pembersihan etnik yang paling mengerikan pada zaman ini.

Juga, lebih 85 peratus rangkaian pembetungan di bandar itu musnah, justeru mewujudkan risiko penularan wabak penyakit.

Merumitkan lagi keadaan, apabila kesemua 12 pusat perubatan di Rafah kini tidak berfungsi, termasuk Hospital Abu Youssef al-Najjar, yang musnah menggunakan robot tentera.

Selain itu, serangan Israel turut meranapkan lapan sekolah serta institusi pendidikan dan merosakkan kemudahan yang masih berdiri di Rafah.

Lebih daripada 100 masjid juga musnah atau rosak teruk.

Rafah, yang meliputi kawasan kira-kira 60 kilometer persegi dan menempatkan sekitar 300,000 penduduk, didiami kira-kira 16 peratus daripada penduduk Gaza.

Kemusnahan 22 daripada 24 telaga air, kini menyebabkan puluhan ribu penduduk tiada bekalan air bersih.

Apa yang berlaku jelas mencerminkan agenda Zionis yang disokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk meratakan Gaza supaya tidak lagi boleh didiami oleh penduduk Palestin.

Pihak berkuasa Gaza mendesak supaya tentera Israel segera berundur dari Rafah, memudahkan kepulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, membuka koridor selamat untuk penghantaran bantuan, dan memulakan usaha pembinaan semula bandar yang musnah itu.

Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dilaporkan berikrar untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza di tengah-tengah usaha berterusan untuk melaksanakan rancangan Trump memindahkan rakyat Palestin dari kawasan itu.

Menurut agensi berita Anadolu, hampir 50,700 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak bulan Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada bulan November lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

-BTS Media

Leave a Comment