BTS Media

AS gantung penghantaran bekalan bom ke Israel sebagai bantahan rancangan serangan ke atas Rafah

PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggantung penghantaran senjata ke Israel minggu lalu sebagai bantahan langkah Israel untuk menyerang bandar Rafah di selatan Gaza, kata seorang pegawai kanan pentadbiran semalam.

Biden dilihat bertindak kononnya untuk mengelak berlakunya serangan besar-besaran oleh Israel ke atas Rafah, di mana ratusan ribu rakyat Palestin sedang berlindung.

Pegawai yang enggan namanya dipetik memberitahu Reuters demikian ketika para pemimpin Israel menghampiri keputusan untuk menyerang Rafah.

“Kami (AS) telah menangguhkan satu penghantaran senjata minggu lepas. Ia terdiri daripada 1,800 bom 2,000 paun (907kg) dan 1,700 bom 500 paun (226kg),” kata pegawai itu.

Menurut sumber, penghantaran itu, yang telah ditangguhkan selama sekurang-kurangnya dua minggu, terdiri daripada Senjata Serangan Langsung Bersama (Joint Direct Attack Munitions) buatan Boeing, serta Bom Diameter Kecil.

Kelewatan itu berlaku pada masa Washington secara terbuka menekan Israel untuk menangguhkan serangan yang dirancang ke atas Rafah.

Semalam, tentera Israel telah menawan sempadan utama antara Gaza dan Mesir di Rafah, justeru memotong laluan penting untuk bantuan masuk ke kawasan kecil itu.

-BTS Media

Leave a Comment